Mati Itu Pasti - Kursus Pengurusan Jenazah di Al Falah

4/26/2009 08:16:00 PG Dicatat oleh kebalz
Ustaz Yusof“Ilmu menguruskan jenazah ini seharusnya dipelajari dan diketahui oleh setiap orang, kerana kematian akan berlaku kepada sesiapa sahaja sama ada ahli keluarga kita, jiran tetangga dan saudara mara kita. Tambahan pula orang yang paling hampir dengan si mati itulah yang lebih afdal mengurus soal-soal memandikan jenazah, mengkafan, solat jenazah dan sebagainya,” demikian saranan Kapten Yusof Abd Latiff, Pegawai Agama Kem Batu Arang, ketika mengendalikan Kursus Pengurusan Jenazah di Surau Al Falah pada 22 Februari lalu.


Seramai kira-kira 20 peserta hadir, termasuk beberapa peserta remaja.

Kursus sehari itu dibahagikan kepada dua sessi; sesi pagi dan petang. Pada sebelah pagi, peserta disegarkan dengan ilmu-ilmu kefahaman berbentuk teori dan falsafah kematian, bermula dengan adab-adab yang perlu dilakukan apabila seseorang itu ditimpa sakit, hukum menziarahi orang sakit, adab-adab menziarahi orang sakit, dan adab-adab ketika menziarahi kematian.


Ustaz Yusof menerangkan satu-persatu perkakasan yang diperlukan dalam kerja-kerja pengurusan jenazah



Saudara Am teruja untuk mencuba sendiri praktikal mengikat dagu jenazah yang diterangkan oleh Ustaz Yusof sebelum ini


Manakala pada sessi sebelah petangnya pula, para peserta diterangkan cara-cara menguruskan jenazah, bermula dengan mengenal alat-alat untuk memandikan jenazah, serta praktikal memandikan, mengkafankan dan pengkebumian jenazah.


Saudara Razak dan saudara Shahril mengambil bahagian dalam demo menyediakan kain kafan jenazah.



Sampai ke peringkat memandikan mayat pun saudara Razak memeperlihatkan kesungguhannya mengambil bahagian.


Selain daripada pelbagai soalan menarik telah diajukan kepada penceramah, para peserta juga diberi peluang melakukan sendiri setiap langkah menguruskan jenazah, bermula daripada perkara-perkara awal yang perlu dilakukan apabila berlaku kematian, menyediakan peralatan kain kafan, memandikan jenazah, mengkafan jenazah hinggalah kepada mengkebumikannya.


Saudara Esa memastikan kain kafan yang disediakan untuk jenazah memenuhi kriteria yang diperlukan, di belakang kelihatan saudara Am dan rakan-rakan lain bersama-sama membantu mengangkat jenazah



Selepas siap jenazah dimandikan, saudara Am dibantu saudara Razak menguruskan kerja pemakaian kain kafan. Di belakang mereka kelihatan saudara Saiful memerhatikan dengan tekun.




Praktikal terakhir pada petang itu ialah cara meletakkan jenazah di dalam liang lahad. Memandangkan tiada kubur yang digali, praktikal dibuat di dalam surau Al Falah.



Kesemua peserta yang hadir berpuas hati dengan penerangan dan latihan praktikal yang telah diadakan.

Satu maklumat terkini menyatakan satu kursus yang sama untuk muslimat telah dirancang untuk dianjurkan pada bulan Mei ini. Sila rujuk posting sebelum ini (Kalendar Aktiviti Al Falah untuk makluman lanjut).



Anda boleh catatkan komen untuk catatan ini.

0 Komen bagi "Mati Itu Pasti - Kursus Pengurusan Jenazah di Al Falah"

Catat Ulasan