Ustaz Mat - Tidak boleh hidup tanpa bermasyarakat

4/26/2009 07:41:00 PG Dicatat oleh kebalz
Untuk mewujudkan sebuah masyarakat Islam yang kukuh, sempurna dan bahagia, setiap orang daripada kita selaku umat manusia ini perlulah sentiasa memelihara dan memastikan hubungan baik di antara satu sama lain, demi mendapatkan rahmat dan keredhaan daripada Allah SWT.

Kita tidak boleh hidup tanpa bermasyarakat, berjiran dan berkeluarga, apatah lagi hidup secara berpuak-puak sebagaimana zaman jahiliah dahulu. Ia amat tidak sesuai dipraktikkan di zaman yang serba mencabar ini, sekaligus mengundang berbagai-bagai fitnah serta memecah-belahkan masyarakat.


Betapa pentingnya perhubungan sesama umat di dalam membentuk sebuah masyarakat yang baik bagi mengekalkan silaturrahim di antara satu sama lain sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam.

Firman Allah SWT; “Dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, jiran tetangga, sahabat handai, orang musafir dan kepada hamba sahaya. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang-orang yang sombong dan bermegah-megah (berbangga diri)”. - An Nisa’: 36



Selain daripada itu, Allah SWT juga berfirman:
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami (Allah) jadikan kamu berbangsa-bangsa, bersuku-suku, supaya kamu saling kenal mengenal di antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah yang paling bertaqwa kepada Allah.” – Al Hujjrat: 13

Sekalipun kita daripada keturunan yang ternama, berharta, mungkin kita hanya dipandang mulia di sisi manusia disebabkan keturunan dan harta, tetapi mungkin tidak di sisi Allah jika sekiranya kita “jauh” dengan Allah, “jauh” dengan masyarakat dan “jauh” dengan jiran tetangga.

Fikir-fikirkanlah dan renungkanlah...

Ustaz Ahmad Bin Muhammad
Pengerusi Surau Al Falah, Seksyen 8, Kota Puteri




Anda boleh catatkan komen untuk catatan ini.

0 Komen bagi "Ustaz Mat - Tidak boleh hidup tanpa bermasyarakat"

Catat Ulasan