Asap - Pencemaran di Kp8 Makin Kritikal

5/17/2009 06:07:00 PTG Dicatat oleh kebalz
Asap Tak SedapSejak kebelakangan ini, tahap pencemaran asap dan debu jalan yang dihadapi oleh sebahagian besar penghuni Seksyen 8, Kota Puteri, mula menjangkau ke tahap yang agak kritikal.

Selain masalah kebersihan rumah, terutama lantai dan cermin yang sering dihinggapi debu tanah dan asap hitam, adalah ditakuti ia akan menimbulkan masalah kesihatan pula, berikutan udara persekitaran yang makin teruk tercemar.

Kesan ini dirasakan terutamanya bagi penghuni yang kediaman mereka berhampiran dengan kawasan sempadan daerah Ijok. Ini berikutan wujudnya kegiatan perindustrian sebuah kilang yang diragui status ‘kebenaran-wujudnya’ di kawasan itu.

Mengikut laporan, pihak jawatankuasa Persatuan Penduduk Seksyen 8 Kota Puteri (Peseri 8), menerusi setiausahanya, saudara Mohd Hanim Mohd Haimi, ketika ini masih beterusan mengusahakan sesuatu bagi mengatasi masalah itu. Setakat ini laporan demi laporan telah dipanjangkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

Asap Tak Sedap
Asap gelap ini semakin menimbulkan masalah buat para penghuni taman Seksyen 8, Kota Puteri (gambar oleh Tn Haji Rafie - di ambil daripada sudut pandangan lokasi cadangan tapak sekolah taman Kota Puteri)


Sungguhpun begitu, setakat ini belum lagi nampak sebarang hasilan yang positif dari usaha yang dibuat.

Memetik satu sumber tidak rasmi yang boleh dipercayai, kilang itu dikatakan beroperasi untuk menghasilkan produk minyak hitam yang berasaskan bahan getah tayar lama.

Proses pembakaran tayar terpakai dikatakan menjadi aktiviti utama dalam penghasilan produk berkenaan. Kesan daripada itu, penghasilan asap tebal yang berlebihan dan tidak terkawal adalah sesuatu yang sememangnya dapat dijangkakan.


Video yang sempat dirakam sewaktu kilang berkenaan melakukan kerja-kerja pembakarannya(video oleh Tn Haji Rafie - di ambil daripada sudut pandangan lokasi cadangan tapak sekolah taman Kota Puteri)Atau klik sini jika paparan video gagal kelihatan!


Didapati juga, sejak akhir-akhir ini, aktiviti pembakaran telah lebih kerap dilakukan menjelang malam atau sekitar awal pagi. Dapat diandaikan ia adalah helah untuk mengelakkan aktiviti pencemaran itu daripada dapat dilihat dengan jelas oleh sesiapa yang memerhatikan.

Selain itu, debu tebal jalan tanah merah yang menjadi laluan aktiviti pengangkutan lori yang keluar dan masuk dari kawasan kilang berkenaan semakin menambah-burukkan lagi keadaan.Kesan ini amat dirasakan apabila cuaca panas dan kering.

Memandangkan laporan berkaitan masalah ini telah dilakukan lebih daripada sekali; sama ada oleh pihak persatuan ataupun individu, persoalan bagaimana kilang itu masih boleh dibiarkan berterusan beroperasi di lokasi berkenaan sememangnya memerlukan jawapan.

Asap Tak Sedap
Kesan asap ini amat dorasakan terutama apabila angin kuat bertiup menghala ke kawasan kediaman para penghuni di Seksyen 8, Kota Puteri (gambar oleh Tn Haji Rafie - di ambil daripada sudut pandangan lokasi cadangan tapak sekolah taman Kota Puteri)


Kebanyakan penghuni berpendapat operasi kilang sedemikian tidak sepatutnya diluluskan di kawasan itu, memandangkan ia terlalu hampir dengan kawasan penempatan awam. Bagaimanapun ada juga yang berpendapat, sebenarnya kilang tersebut memang tidak pernah mendapat kebenaran pihak berkuasa untuk didirikan di situ.

Kepekaan pihak berkuasa tempatan dalam hal ini (sama ada pihak Majlis Daerah Kuala Selangor, Majlis Perbandaran Selayang serta pihak Jabatan Alam Sekitar) untuk segera bertindak adalah amat diharapkan oleh kesemua penghuni Kota Puteri Seksyen 8.

Blog Kp8 dari masa ke semasa akan cuba mendapatkan perkembangan lanjut berhubung dengan isu ini.

Sebarang pihak yang ingin menyatakan pandangan dan pendapat untuk mengatasi masalah ini atau masalah lain di Kota Puteri Seksyen 8 adalah dialu-alukan. Sila salurkan mesej anda kepada e-mel pentadbir blog Kp8 yang disertakan di muka depan blog ini.


Anda boleh catatkan komen untuk catatan ini.

2 Komen bagi "Asap - Pencemaran di Kp8 Makin Kritikal"

  1. kebalz Said,

    Pihak Blog Kp8 sedang cuba mendapatkan maklumat yang lebih mendalam dan terperinci berhubung dengan isu ini. Sebarang pihak sama yang mempunyai sebarang komen atau maklumat yang ingin dikongsi bersama adalah dialu-alukan menghantar tulisan mereka ke e-mel pentadbir blok Kp8.

    Posted on 17 Mei 2009 pada 6:43 PTG

     
  2. wak-murai Said,

    TERIMA KASIH ATAS ARTIKEL ANDA

    Posted on 26 Mei 2009 pada 2:08 PTG

     

Catat Ulasan